
KATA-KATA ALUAN
Y.BRS. ENCIK ABDUL SHARIFF HAMID
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF YPM
Dengan hormat dan takzimnya, terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas kesudian saudara dan saudari mengunjungi ke laman sesawang Yayasan Pelajaran Mara (YPM). Kehadiran anda di laman ini adalah amat dialu-alukan kepada anda untuk mengenal dan mendalami hal-hal yang berkaitan dengan YPM.
Selaras dengan aspirasi kami sebagai Pelengkap Ilmu dan Pendidikan Bumiputera, pelbagai pendekatan dan kaedah telah dilaksanakan oleh YPM dalam memastikan program-program strategik YPM meliputi kumpulan sasaran di setiap peringkat dan lapisan masyarakat; khususnya Bumiputera.
Dimensi Baru akan mencerminkan pendekatan kami bagi tahun 2010 ini. Pelaksanaan program dan aktiviti di seluruh negeri akan diperkemaskan lagi bagi memperkenalkan YPM sebagai yayasan yang mementingkan kebajikan anak-anak Bumiputera, khususnya di dalam bidang pendidikan. Kami senada dan seirama bersama menyahut seruan kerajaan untuk melahirkan lebih ramai insan yang berkeperibadian tinggi dan berakhlak mulia.
Dengan lahir dan terciptanya lebih ramai golongan cerdik pandai di masa mendatang, tidak mustahil, kadar kemiskinan akan mencapai tahap kosong seperti yang diseru oleh pihak kerajaan. Di sinilah peranan utama YPM di dalam menyokong dan menyuntik semangat individu terutamanya para pelajar untuk mencipta kejayaan demi kejayaan di persada antarabangsa.
Di sinilah juga akan kita jadikan sebagai pentas berbicara di dalam berkongsi maklumat, pendapat mahupun sebarang komen-komen bagi tujuan yang satu; iaitu demi kepentingan pendidikan anak bangsa kita. Kita jadikan laman ini sebagai medium perantaraan bagi membolehkan YPM bergerak sehingga ke peringkat akar umbi di dalam mengenalpasti perkara-perkara yang berkaitan pendidikan.
Saya juga mengharapkan agar pihak YPM dapat berkomunikasi dengan anda semua seterusnya memudahkan anda untuk mengikuti segala pekembangan aktiviti mahupun program-program yang bakal dan telah dianjurkan. Semoga informasi yang kami sediakan menerusi laman sesawang ini diharapkan dapat dijadikan sebagai satu panduan dan sumber kepada anda untuk mendapatkan pelbagai maklumat terkini.
Sekian, terima Kasih.Wassalam,
ABDUL SHARIFF HAMID
Ketua Pegawai Eksekutif YPM












Profil YPM 


