PERUTUSAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF YAYASAN PELAJARAN MARA
Dengan hormat dan takzimnya, terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas kesudian saudara dan saudari mengunjungi Portal YPM ini. Kehadiran anda di portal ini amat dialu-alukan untuk anda mengenali dengan lebih dekat lagi mengenai Yayasan Pelajaran MARA (YPM).
Tahun 2012 merupakan tahun yang mencabar buat Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dalam melaksanakan program transformasi ke atas pelajar Bumiputera yang berasal dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah dalam mendapatkan pelajaran yang berkualiti. Dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu, YPM berusaha sedaya upaya memastikan bantuan yang disediakan diterima oleh mereka yang memerlukan.
YPM juga akan memastikan agenda ‘Janji Ditepati’ Perdana Menteri di dalam memperkasakan pendidikan dan sosio ekonomi Melayu dan Bumiputera dapat dilaksanakan. sekaligus memastikan YPM terus relevan di dalam melaksana agenda pendidikan Melayu dan Bumiputera.
YPM juga telah menghasilkan model serta halatuju baru bagi memperkasakan lagi struktur Model serta hala tuju baru YPM adalah berpaksikan tujuan YPM mengikut Akta MARA 1966 iaitu untuk menubuhkan, menerima dan mentadbir wang bagi kemajuan pendidikan, saintifik dan teknologi untuk Bumiputera serta menyenggara biasiswa, pinjaman, pemberian dan bantuan kewangan yang lain kepada Bumiputera bagi maksud membolehkan mereka meneruskan pengajian mereka di institusi pendidikan terutamanya yang ditubuhkan oleh Majlis MARA.
Manakala misi YPM yang kami adaptasikan dalam memperkasakan taraf pendidikan dan sosio ekonomi bangsa Melayu dan Bumiputera pula adalah seperti berikut:-
1.Untuk mengadakan program-program pembangunan modal insan dan kecemerlangan pelajar.
2.Untuk memperkasakan pendidikan global di dalam pelbagai bidang dengan tumpuan ke Korea dan China.
3.Untuk mengumpul dana melalui berbagai inisiatif dan instrumen baru yangislamik.
4.Untuk menjalankan kajian pendidikan dan sosio-ekonomi Melayu dan Bumiputera.
5.Untuk menjalinkan rangkaian strategik dengan agensi-agensi kerajaan, GLC dan swasta bagi melaksanakan Pembangunan Modal Insan dan penjanaan pendapatan YPM.
6.Untuk memastikan kecekapan sistem penyampaian berdasarkan kepada budaya kerja cepat, tepat dan betul.
Moto YPM adalah seperti berikut:
“ Memperkasakan Pendidikan Melayu Dan Bumiputera ”
Program Transformasi Negara telah memperincikan objektif keberhasilan dalam bidang yang dikenalpasti sebagai NKRA manakala di peringkat kementerian dikenali sebagai MKRA. Sehubungan dengan itu, YPM telah merangka YpmKRA bagi menterjemahkan hasrat kerajaan memperkasakan pelajar Melayu dan Bumiputera seperti berikut:-
YpmKRA No 1
Mempertingkatkan program-program pembangunan modal insan dan transformasi kecemerlangan pelajar.
YpmKRA No 2
Memperluaskan akses kepada pelajar Melayu dan Bumiputera untuk mendapat pendidikan di peringkat global.
YpmKRA No 3
Mempertingkatkan pengumpulan dana melalui berbagai inisiatif dan instrumen baru yang berbentuk islamik kepada pelajar Melayu dan Bumiputera.
YpmKRA No 4
Mempertingkatkan kajian pendidikan dan sosio-ekonomi Melayu dan Bumiputera.
YpmKRA No 5
Mempertingkatkan jalinan rangkaian strategik dengan agensi-agensi kerajaan, GLC dan swasta bagi melaksanakan pembangunan modal insan dan penjanaan pendapatan YPM.
YpmKRA No 6
Mempertingkatkan kecekapan sistem penyampaian berdasarkan kepada budaya kerja cepat, tepat dan betul.
Selain daripada menggunakan Akta MARA yang berkaitan dengan penubuhan YPM, visi MARA iaitu ‘Untuk Menjadi Organisasi Amanah Yang Unggul Dan Diberkati’ juga digunakan sebagai panduan hala tuju YPM.
YPM juga sentiasa memantau trend dunia semasa yang mana ia kini memerlukan bakal graduan universiti memperoleh ilmu pengetahuan yang berkualiti dan berdaya saing dalam memantapkan sosio-ekonomi sesebuah negara. Penghantaran pelajar Bumiputera yang cemerlang ke institusi pengajian tinggi di Jepun melalui program kerjasama dengan kerajaan Jepun. Melalui kerjasama ini, YPM mampu melahirkan lebih 1,000 jurutera dari pelbagai bidang pengkhususan menjelang 2015. YPM yakin, bakal jurutera-jurutera ini mampu menukar landskap ekonomi negara agar menjadi lebih maju dalam kita mencapai wawasan negara.
Kejayaan ini merupakan penanda aras yang menunjukkan kesungguhan YPM dalam melahirkan tenaga profesional yang bakal menjadi pemangkin kepada usaha membangunkan Malaysia sebagai negara contoh dan maju menjelang tahun 2020.
YPM berharap, usaha dan transformasi yang dilakukan oleh pihak kami ini diterima baik oleh semua pihak dan orang ramai khususnya daripada badan-badan korporat untuk sama-sama membantu YPM dalam memberikan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan untuk meneruskan pelajaran mereka.
Saya juga mengharapkan agar YPM dapat berkomunikasi dengan anda semua seterusnya memudahkan anda untuk mengikuti segala perkembangan aktiviti mahupun inisiatif-inisiatif yang bakal dan juga yang telah dianjurkan. Semoga informasi yang kami sediakan menerusi laman portal ini diharapkan dapat dijadikan sebagai satu sumber rujukan anda mengenai YPM.
Sekian , Terima Kasih.
Wassalam.
DR ZUBIR BIN HARUN
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF YPM













