SKIM BANTUAN KHAS PENDIDIKAN YPM (SBKP)
Pendahuluan
Skim Bantuan Khas Pendidikan YPM (SBKP) adalah merupakan satu pendekatan dan usaha Yayasan Pelajaran MARA untuk membantu pelajar, khasnya Bumiputera, yang ditimpa kesusahan akibat oleh sesuatu kemalangan atau bencana untuk meneruskan pembelajaran mereka. Ini termasuk pembelajaran di sekolah ataupun di mana-mana institusi pengajian tinggi.
Skim ini diwujudkan dengan matlamat untuk:
- Memberi bantuan kewangan untuk membantu perbelanjaan bagi meneruskan pengajian selepas ditimpa kemalangan atau bencana.
- Memastikan pelajar Bumiputera yang mengalami kesusahan mampu meneruskan pengajian seperti sediakala.
- Mewujudkan semangat gigih dan kental untuk meneruskan pengajian tanpa menjadikan kemalangan atau bencana sebagai halangan untuk mencipta kejayaan.
Syarat-syarat kelayakan
- Pemohon mestilah seorang Bumiputera warganegara Malaysia.
- Pemohon mestilah masih sedang belajar, samada di sekolah/institusi pengajian kerajaan atau swasta.
- Pemohon mengalami kesusahan yang mengganggu aktiviti pembelajaran akibat daripada sesuatu kemalangan atau bencana.
- Permohonan mestilah menggunakan Borang Permohonan Skim Bantuan Khas Pendidikan - SKBP/B01/05 yang asal.
- Pemohonan mestilah mendapat pengesahan pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan.
Jenis Bantuan
Bantuan Segera
Sejumlah wang diberikan kepada pemohon bagi mengurangkan kesusahan akibat daripada kemalangan atau bencana yang menimpa pemohon/keluarga pemohon. Jumlah maksima Bantuan Segera ialah dihadkan kepada RM500.00 sahaja bagi setiap keluarga mengikut budibicara Pengurus Besar YPM berdasarkan Laporan Penilaian yang dikemukakan.
Bantuan Pakaian, Peralatan dan Kemudahan Pembelajaran
Sejumlah wang yang diperlukan bagi membiayai perolehan pakaian, peralatan atau kemudahan yang musnah/hilang akibat sesuatu kemalangan atau bencana. Jumlah bantuan ini adalah mengikut jumlah sebenar perbelanjaan dan dilakukan mengikut Prosedur Perolehan YPM sediaada.
Tatacara Permohonan Dan Kelulusan
-
Melengkapkan Borang Skim Bantuan Khas Pendidikan - SBKP/B01/05 dan dikembalikan kepada YPM dalam masa tidak melebihi 14 hari selepas kemalangan atau bencana menimpa.
-
Pegawai Bahagian Penganjuran & Bantuan Pendidikan YPM akan mengadakan lawatan penilaian dan menyediakan Laporan Penilaian.
-
Mengemukakan Laporan Penilaian untuk kelulusan Pengurus Besar YPM.
-
Penerima bantuan melalui skim ini dikehendaki membuat pengesahan penerimaan bantuan seperti yang telah diluluskan menggunakan Borang Pengesahan Penerimaan - SBPKP/PP01/05.
|